Adab-Adab Berguru

Adab orang yang mempelajari ilmu atau murid terbahagi kepada dua:

Pertama : Adab untuk dirinya sebagai murid

Kedua: Adab terhadap gurunya

Adab untuk dirinya sebagai murid pula terdiri daripada tujuh perkara:

1.          Membersihkan hati daripada sifat-sifat yang keji dan tercela seperti riya’, sombong, takabbur, hasad dengki dan sebagainya lagi yang termasuk didalam sifat-sifat yang dikeji dan memperelokkannya dengan sifat-sifat yang dipuji yang lain seperti ikhlas, benar, zuhud, tawadhuk dan sifat-sifat terpuji yang lain kerana ilmu itu adalah sebahagian daripada ibadat yang batin dan ibadat tidak dianggap sah kecuali apabila suci daripada najis. Umpamanya solat tidak sah kecuali apabila tempat solat didirikan, tubuh badan dan pakaian orang yang bersolat semuanya suci dan bersih daripada najis yang zahir.

Oleh kerana ilmu itu berupa ibadat yang batin maka dianggap tidak sah melainkan apabila batin, iaitu hati bersih dan suci daripada najis yang batin yakni yang didalam hati. Sifat yang keji dan jahat yang tersembunyi di dalam hati itu adalah najis sepertimana firman Allah:

Ertinya: “ Sesungguhnya orang-orang yang syirik itu najis” (At-Taubah:28)

Menurut Imam Al Ghazali bahawa najis itu tidak semestinya terdapat pada pakian dan tubuh badan secara zahir. Selagi hati masih tercemar dengan sifat-sifat yang keji maka cahaya ilmu yang bermanfaat kepada agama menjadi malap dan tidak dapat menerangi hati itu. Kerana inilah Ibnu Mas’ud r.a berkata: Ertinya: “Ilmu itu bukan diperolehi dengan banyak periwayatan dan kajian buku-buku tetapi ilmu itu adalah cahaya yang dilontarkan oleh allah kedalam hati.”

2. Mengosongkan hati daripada hal-hal keduniaan dan menjauhkan daripada memikirkan tentang anak dan isteri dan segala yang boleh membimbangkannya agar hati itu tertumpu sepenuhnya kea rah menuntut ilmu, kerana Allah telah berfirman:

Ertinya : “ Allah tidak menjadikan untuk seorang itu dua hati dalam perutnya iaitu tidak masuk ke dalam hati seorang Islam jika ia memikirkan selainnya. “ (Al-Ahzab : 4)

3. Orang yang belajar atau murid itu hendaklah merendah diri meletakkan diri di darjat paling bawah dan tidak menganggapkan dirinya lebih besar daripada ilmu yang diajarkan kepadanya oleh guru. Umpamanya ia berkata di dalam hati : Ilmu ini remeh atau kitab ini kecil sedangkan aku telah banyak belajar, mengapakah guruku menyuruhku belajar menggunakan kitab sekecil ini? Sebaliknya murid hendaklah menerima apa yang di ajarkan oleh guru dan apa yang disuruhnya, tidak menyangkal gurunya dan tidak mengarahkan guru mengajarkannya sesuatu ilmu yang ia mahukan atau mengarahkannya menggunakan sebuah kitab tertentu, tetapi hendaklah menyerahkan kehendaknya itu bulat-bulat kepada gurunya dan menerima sahaja apa yang disuruh oleh guru supaya dipelajari

Murid juga hendaklah senantiasa berkhidmat kepada gurunya bagi mendapatkan berkat darinya. Saiyidina Abdullah bin Abbas sentiasa berkhidmat kepada gurunya Saiyidina Zaid bin Tsabit. Setiap kali gurunya itu memimpinnya kea rah yang mahu dituju oleh Saiyidina Zaid bin Tsabit sehingga Saiyidina Zaid pernah berkata kepadanya, “ Lepaskan tali kekang itu wahai sepupu Rasulullah s.a.w.?” Saiyidina Abdullah bin Abbas menjawab : “ Itulah yang disuruh kami lakukan kepada pembesar, guru dan ulama’ kami. “ Lalu Zaid bin Tsabit pun mengucup tangan Saiyidina Abdullah bin Abbas dengan berkata. “ Itulah yang disuruh kami lakukan kepada Ahlul Bait dan kerabat Penghulu kami s.a.w.”

Sabda Nabi:

Ertinya: “ Bukan daripada akhlak orang mukmin perbuatan menghina diri kerana meminta sesuatu melainkan di dalam menuntut ilmu. “

4. mengelak daripada mendengar ilmu yang menjadi perselisihan di kalangan ulama’ kerana ini boleh menimbulkan kebingungan yang tidak menghasilkan sebarang faedah dari ilmu itu di samping membuatkan hati gagal menentukan yang mana harus di pegang. Oleh itu orang yang baru mula mengikuti jalan Akhirat hendaklah menuntut ilmu yang menjuruskan hati kea rah ibadat dan tidak bermaksud menuntutnya untuk mengetahui aspek-aspek yang diperselisihkan oleh para ulama’

5. Tidak melepaskan peluang segala seni yang dipuji syara’ andainya mahukan kemahiran, tetapi hendaklah dibuat selepas menuntut Ilmu Fardhu Ain yang bermanfaat itu dan setelah mengamalkannya, dan juga mempunyai masa yang terluang setelahmengerjakan wirid. Ini ialah menuntut ilmu seni kemahiran itu merupakan Fardhu Kifayah, dan sebagaumana sedia maklum sesuatu yang berupa Fardhu Ain itu mesti mendahului sesuatu yang dianggap Fardhu Kifayah

6. Ia hendaklah bersungguh-sungguh menuntut ilmu yang bermanfaat di Akhirat yang dinyatakan. Barangsiapa sibuk dengan menuntut seni ilmu tasawuff memadai baginya, sebab ia mengandungi ilmu usluddin iaitu I’tiqad, Ilmu Feqah iaitu ilmu Ibadat, Ilmu Muamalat dan Ilmu Suluk dan Tariqat yang membawa kepada Ilmu Mukasyafah dan ilmu Haqiqat. Kerana inilah Imam Al Ghazali pernah berkata:

“ Ilmu muamalat iaitu ilmu dan amalan itu membawa kepada ilmu mukasyafah. Dan mukasyafah ialah Penyingkapan hati seorang itu kea rah Ma’rifatullah Taala iaitu mengenal Allah. Ianya Nur atau cahaya yang dicampakkan Allah ke dalam hati hasil daripada amalan ibadat dan mujahadah iaitu perjuangan menentang hawa nafsu dan hasutan syaitan, dan dia itulah yang seterusnya membawa ke martabat keimanan Saiyidina Abu Bakar As Siddiq r.a. yang jika ditimbangkan dengan keimanan seluruh isi bumi nescaya keimanan Abu Bakar lebih berat lagi disebabkan suatu rahsia yang terpahat di dalam hatinya tanpa perlu kepada bukti-bukti dan hujjah-hujjah. “

Imam Al-Ghazali berkata lagi

“Dan Ketahuilah bahawa semulia-mulia ilmu dan kemuncaknya ialah ma’rifatullah Ta’ala iaitu mengenal Allah melalui nur keimanan yang terdapat di dalam hati. Ianya merupakan lautan yang tidak diketahui penghujung dalamnya. Para Anbiya’ merupakan manusia yang paling jauh berada di dalamnya, diikuti oleh para Auliya’, kemudian orang-orang yang menyusuli mereka. “

7. Tujuan mereka menuntut ilmu itu hendaklah semata-mata kerana Allah Ta’ala iaitu menjunjung titah perintahNya kerana Akhirat dan kerana mahu memperelokkan dirinya yang zahir kelihatan dengan amalan ibadat kepada Allah Ta’ala dan memperbaiki batinya iaitu hatinya dengan segala sifat yang terpuji dan membersihkannya dari segala sifat yang cela dan keji di samping sentiasa hadir mengingati Allah Ta’ala. Ini akan menyampaikannya kepada ma’rifatullah Taala dan seterusnya kepada martabat yang tinggi dan kepada kedudukan Malaikat Al Muqarrabin.

..:: BERSAMBUNG ::..

Add comment

Security code
Refresh

You are here: Home \| Artikel-Artikel \| Umum \| Lain-lain \| Adab-Adab Berguru