Tarekat Sesat

TAREKAT adalah perkataan bahasa Arab bermaksud jalan atau cara di mana ia menjurus kepada maksud kaedah untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Dari segi istilah, ia merujuk kepada aliran yang wujud dalam amalan tasawuf atau amalan penyucian hati dan jiwa yang memfokuskan kepada amalan zikir yang disusun ulama tertentu.

Penyucian itu dikenali sebagai tawasuf yang mana sebahagian amalan itu dituntut Islam. Amalan penyucian diri atau lebih dikenali dengan nama tasawuf adalah sebahagian amalan yang dituntut Islam.

Ia berdasarkan kepada sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang menceritakan kisah Jibril a.s. bertemu dengan Rasulullah s.a.w kemudian bertanya beberapa soalan berkenaan agama.

Antaranya, apa itu iman, apa itu islam dan apa itu ihsan. Baginda menjelaskan bahawa iman itu ialah kamu beriman kepada Allah, Malaikat-Nya, Rasul-rasul-Nya, Kitab-kitab-Nya, Hari Akhirat dan dengan ketentuan baik dan buruk.

Islam pula ialah kamu memberi kesaksian bahawa tiada Tuhan yang mesti disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mengerjakan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji ke Baitullah sekiranya mampu.

Ihsan pula ialah bahawa kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihatnya. Sekiranya kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihat kamu.

Iman berkaitan dengan ilmu akidah iaitu kumpulan keyakinan di hati terhadap perkara ghaib. Ia melahirkan ilmu tauhid atau usuluddin. Islam pula berkaitan dengan pengamalan zahir seperti solat dan sebagainya.

Ia melahirkan ilmu fiqah atau dikenali juga sebagai ilmu syariat. Ihsan pula berkaitan dengan penyucian jiwa. Dari perbahasan ihsan inilah lahir ilmu penyucian jiwa yang lebih dikenali kemudiannya sebagai ilmu tasawuf.

Maka dari situ lahirlah aliran tasawuf yang dikenali sebagai tarekat. Kepelbagaian itu berlaku kerana perbezaan fokus amalan dan bentuk zikir yang dipraktikkan dalam amalan seharian.

Sebahagian zikir itu dipetik daripada al-Quran dan hadis. Manakala sebahagiannya pula hasil susunan tokoh ulama yang menjadi perintis kepada kumpulan tarekat.

Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi berkata tarekat menurut huraian ulama tasawuf mempunyai beberapa pengertian iaitu umum, khusus dan lebih khusus.

“Pengertian umum bagi tarekat merujuk kepada jalan agama Allah iaitu jalan Islam itu sendiri.

“Ilmu yang terhasil daripada ulama fiqah, setiap amalan yang dilakukan dengan panduan menghasilkan kepelbagaian termasuk ilmu, adab, rahsia dan hakikat yang tidak dapat diungkapkan secara lisan dengan syarat amalan itu bebas daripada kecacatan dan kehendak hawa nafsu,” katanya.

Beliau berkata asal tarekat itu ialah tekun beribadah, menumpukan sepenuh perhatian kepada Allah, berpaling daripada perhiasan duniawi, bersifat zuhud terhadap apa yang dicari orang ramai seperti harta kekayaan serta pangkat.

“Pengertian khusus bagi tarekat ialah tatacara khusus atau himpunan adab yang diamalkan kumpulan ahli tasawuf.

“Manakala pengertian tarekat yang lebih khusus pula ialah perjalanan dan peningkatan tahap kejernihan rohani manusia yang menempuh pelbagai halangan, peringkat dan merasai pelbagai hal kerohanian,” katanya.

Engku Ahmad Zaki berkata sesuatu ajaran tarekat dinamakan atas nama pengasasnya kemudian digabungkan dengan nama kumpulan tarekat terkenal sebagai pendekatan mengaburi panda�ngan umat Islam.

“Pada hakikatnya, ia terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar. Antara ciri-ciri kesesatan ajaran tarekat yang menyeleweng adalah pegangan terhadap istilah tasawuf secara terang bercanggah dengan syarak selain istilah falsafah, kebatinan dan takwil tasawuf yang menyimpang jauh daripada kebenaran terhadap persoalan akidah dan ibadah.

“Ajaran tarekat berkenaan menganjurkan pengikutnya supaya ‘meringankan’ atau tidak melaksanakan ibadat serta kewajipan syarak yang dituntut. Lebih mengejutkan, ada pengikut ajaran tarekat yang sesat tidak malu melakukan maksiat dan boleh membentuk gerakan politik bawah tanah sehingga meng�ganggu gugat keharmonian umat Islam,” katanya.

Beliau berkata Abu Yazid al-Bistami iaitu seorang tokoh terkenal dalam bidang tasawuf menjelaskan bahawa terdapat hubungan antara syariat dan tasawuf.

“Menurutnya, syariat adalah asas utama yang tidak boleh ditinggalkan dalam perjalanan menuju kepada Allah. Beliau pernah berkata jika kamu melihat seorang lelaki yang diberikan keramat sehingga dia terbang di udara, maka janganlah kamu terpedaya dengannya sehinggalah kamu melihat bagaimana keadaannya atau sifatnya di sisi perintah dan larangan Allah, menjaga sempadannya dan menunaikan syariat.

“Beliau dikatakan pernah mengajak anak muridnya menemui seorang lelaki yang memasyhurkan dirinya dengan kewalian dan kezuhudannya. Apabila orang itu keluar dari rumahnya dan memasuki masjid, dia meludah ke arah kiblat, tiba-tiba Abu Yazid berpaling meninggalkannya dan tidak mengucapkan salam kepadanya dan berkata: ‘Bagaimana dia boleh dipercayai terhadap apa yang didakwanya itu.’

“Pada umumnya, setiap insan ingin mendekatkan dirinya kepada Tuhannya. Justeru, mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah dan orang yang mampu dekat dengan Allah hanyalah orang yang hatinya bersih, suci, dan sentiasa menjaga dirinya daripada hal yang dilarang Allah,” katanya.

Beliau berkata pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin pengamal sufi mencontohi perilaku sahabat Rasulullah dalam hal keteguhan iman, ketakwaan, kezuhudan dan budi pekerti luhur.

“Mereka sentiasa meneladani kehidupan Rasulullah, tidak pernah takut terhadap musuh serta tidak takut miskin dalam urusan duniawi kerana percaya semua rezeki daripada Allah.

“Maka setiap Muslim wajib berhati-hati dengan ajaran sesat yang bertopengkan tasawuf dan tarekat yang semakin bercambah.

“Setiap Muslim perlu faham Islam itu ditegakkan atas prinsip akidah yang jelas berpaksikan al-Quran dan Sunnah.

“Apa saja fahaman, ajaran, amalan dan pengalaman kerohanian yang tidak berasas akidah Islam adalah tertolak. Siapa pun syeikh, besar mana pun serbannya, sepetah mana pun dia, apa pun tafsirannya berkenaan kerohanian, namun jika ia bercanggah dengan nas al-Quran dan Sunnah, maka ia tertolak,” katanya.

Beliau berkata, Prof Dr Yusuf al-Qaradawi di dalam buku Thaqafah al-Da’iyah berpendapat sebahagian ajaran tasawuf dan tarekat dipengaruhi anasir luar seperti ajaran Kristian, Hindu dan Parsi Yunan.

“Sebahagian mereka berbicara mengenai qidam nur Muhammad atau yang mereka namakan al-haqiqah al-Muhammadiyyah (hakikat Muhammad). Mereka bercakap mengenai kewalian, wali, kasyaf, mawajid, zauq dan berhukum dengan perkara itu dalam nas agama.

“Mereka melampaui batas dalam zuhud dan apa yang berkaitan dengannya sehing�ga ke peringkat terkeluar daripada kesederhanaan Islam kepada kerahiban Kristian.

“Imam al-Syatibi dalam kitabnya al-I’tisam berkata golongan sufi sama seperti orang lain yang tidak maksum. Mereka juga melakukan kesilapan, lupa dan melakukan maksiat sama ada dosa kecil atau besar.

“Justeru, ulama menyatakan setiap percakapannya boleh diambil atau ditinggalkan kecuali percakapan Nabi Muhammad s.a.w.

“Memadailah berpegang kepada al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w sebagai sumber utama dalam perjalanan menuju keredaan Allah,” katanya.

Tiga aliran ajaran sesat

Takrif ajaran sesat mengikut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

AJARAN sesat ialah sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau orang bukan Islam yang didakwanya berdasarkan kepada ajaran Islam, tetapi sebenarnya ajaran atau amalan berkenaan berlawanan dengan akidah dan syariah Islam berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah.

Bentuk ajaran sesat

Pada masa ini terdapat beberapa jenis ajaran sesat yang dapat dibahagikan kepada tiga bentuk utama iaitu:

1. Bentuk ajaran

Ajaran ini biasanya lahir melalui ajaran yang direka atau dicipta oleh seorang guru atau penganjur ajaran sesat yang menggunakan berbagai-bagai nama atau pengamalan tertentu.


2. Bentuk tarekat

Melalui bentuk tarekat ini biasanya mereka menggunakan nama-nama tarekat yang masyhur di kalangan umat Islam kerana tarekat ini sememangnya diamalkan ulama yang mana mereka ini mengguna pakai amalan tarekat ini dengan berpandukan kepada al-Quran dan sunnah.

Dengan ini mereka menggunakan nama-nama tarekat ini seperti Ahmadiah, Naqsyabandiah Sazaliah, Samaniah, Qadariah dan Muffaridiah.

Kadang-kadang nama tarekat ini diciptakan mengikut ajaran tarekat berkenaan.
Walaupun terdapat nama-nama yang bersamaan antara tarekat yang direka dengan tarekat asal, tetapi ternyata daripada ajaran yang diamalkan oleh mereka dan
konsep yang terdapat

dalam ajaran tarekat itu terdapat unsur-unsur ataupun bahan-bahan yang boleh membawa penyelewengan akidah Islamiah dan boleh membawa pengikutnya terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar.

3. Melalui kepercayaan dan amalan tradisi yang berhubungan dengan amalan mistik dan kultus. Bentuk kepercayaan ini menjadi satu perkara lumrah dikalangan orang Melayu Islam di negara ini kerana ia bersifat:

1. Pemujaan kepada tempat yang dianggap keramat.

2. Pemujaan kepada orang yang dianggap wali dan mempunyai kelebihan.

3. Kepercayaan kepada kuasa kesaktian melalui amalan seni mempertahankan diri dan sebagainya.

4. Kepercayaan terhadap dukun atau bomoh yang mendakwa mendapat ilmu
kedukunan daripada mimpi atau orang halus (bunian ataupun sampingan) melalui amalan cara menurun dan sebagainya.

Jika dilihat daripada bentuk yang disebutkan di atas adalah menunjukkan bahawa orang Islam di negara ini masih mencampuradukkan di antara pola kepercayaan tradisi mereka dengan unsur agama Islam dan sekiranya pola yang sedemikian tidak dapat dipisahkan dengan kepercayaan umat Islam pada hari ini, maka krisis akidah umat Islam makin meruncingkan.

sumber dari hmetro.com.my

Comments   

 
#2 harahapdahrul 2014-04-29 05:54
alang kah baik nya kal;au frop imegikuti orang yang menerima tasauf atau suluk biar frop tau degan jelas .cakap cakap saja tak guna .kalau kita berpikir degan akal jadi nya akal akalan kalau kita berpikir degan hati barulah jelas dan terang sebap di tasauf ini yang berpikir adalah hati atau qolbi kita jadi tiada bohong apa yang dikatakan oleh hati .awaluddin makripatulah ni dulu frop bahas dulu dan syariat tarikat hakikat dan makripat barulah jelas frop tau
 
 
#1 azizi 2012-11-06 13:09
terfikir ke kita penceramah yang membawa aliran fekah sahaja tanpa membawa ilmu tasauf boleh membawa kepada kesesatan atau kesyirikan yang satu satunya kesalahan yang tidak terampun, berlindung kita kepada allah
 

Add comment

Security code
Refresh

You are here: Home \| Artikel-Artikel \| Artikel \| Isu Semasa \| Tarekat Sesat